RUMAH
HUBUNGI ADMIN
MENGENAI ADMIN
Dekotaman Idaman Hati
 
Navigasi
Home » Unlabelled » Menghidupkan taman idaman
Menghidupkan taman idaman
- ON 8:54:00 PTG - NO COMMENTS
Teks Azlan Hafeedz
rencana@hmetro.com.my
RAMAI peminat dekorasi berlumba-lumba mengindahkan taman ‘impian’ di laman masing-masing termasuk berbelanja besar selepas mereka tertarik melihat rimbunan hijau daun pelbagai tekstur, warna serta corak.
Namun, ia bukan perkara utama dalam penentuan keindahan taman idaman, tetapi lebih penting titik fokus iaitu jenis, cara dan teknik penyusunan tanaman hiasan.
Saiz bukan ukuran mutlak yang menjanjikan kehebatan sesebuah taman tetapi sejauh mana taman itu memenuhi keperluan fungsi dan cita rasa pemiliknya.
Justeru, bagi menambah kedamaian sebuah taman, pilih spesies palma, renek, gantung dan menjalar termasuk paku pakis, selain pokok berbunga, sebagai penyeri.
Selain senang dijaga, tanaman hiasan itu mudah diperoleh.
Pokok renek berdaun aneka warna seperti puding mas, puding perak dan Croton atau nama saintifiknya, Codiaeum variegatum’ mudah ditanam serta tidak cerewet, sesuai untuk menghiasi laluan pejalan kaki atau tepian pagar.
Pokok renek berbunga seperti jejarum, bunga raya (hibiscus rosa sinensis) dan Ixora King yang berbentuk bulat dengan tekstur sederhana padat, daun hijau berkilat serta bunga berwarna merah termasuk merah muda turut dijadikan pilihan menghiasi pokok pagaran dan adangan.
Selain itu, pokok keladi terkenal di kalangan peminat landskap kerana mempunyai ratusan spesis walaupun tanaman terbabit ada yang beracun.
Antaranya, keladi Anthurium spp yang berbunga sepanjang tahun dengan permukaan daun dan bunga yang berkilat, tahan sehingga dua minggu, boleh tumbuh di bawah separa atau teduhan penuh selain membiak secara belahan rumpun.
Pokok Akalifa, pokok ati-ati dan pokok ekor kucing (Acalypha hispida) yang memiliki ketinggian dua hingga tiga meter adalah pokok renek penuh berkhasiat serta mudah ditanam.
Tarikan warna merah terang pada daunnya kecuali ekor kucing menyerlahkan lagi keanggunan pokok hiasan itu.
Bagaimana pun, pokok hiasan bersaiz tiga hingga lima meter seperti kemboja (Plumeria Rubra L) daripada famili Apocynaceae dan pokok Helicornia rostrata sesuai sebagai ‘peredup’ kepada pokok renek lain.
Paling menarik, walaupun tinggi, pokok hiasan terbabit mampu mengeluarkan kuntuman bunga pelbagai warna termasuk memiliki daya tarikan daun berwarna-warni.
Jika anda kreatif, pokok menjalar dan gantung boleh digabung pada satu tempat seperti di pergola untuk ‘menghidupkan’ lagi suasana kediaman.
Justeru, pemilihan tepat jenis tanaman hiasan dalam memperindahkan lagi landskap adalah dianggap dominasi utama keceriaan sesebuah taman.
(sumber: Harian Metro, 19/02/2011)
No comments:
Post a Comment